Mereka mendakwa bahawa Ibnu Abbas mentakwil sifat betis bagi Allah SWT.
Mereka memetik firman Allah taala "(Ingatlah) pada hari ketika betis disingkapkan dan mereka diseru untuk bersujud; maka mereka tidak akan mampu" - Surah Al-Qalam : Ayat 42. Kata Ibnu Abbas (عن كرب شديد) [Daripada huru-hara/kesusahan yang dahsyat]
Pertama : Para sahabat berselisih pandangan pada ayat ini dalam menentukan samada ianya adalah ayat daripada ayat-ayat sifat ataupun bukan. Maka Ibnu Abbas menafsirkan ayat ini kepada (Syiddah) kedahsyatan/bersangatan kerana mengira bahawa ayat ini bukan daripada ayat-ayat sifat maka boleh ditafsirkan dan adapun Abu Said, Ibnu Mas'ud dan sekelompok sahabat yang lain mengira ayat ini termasuk daripada ayat-ayat sifat maka mereka tidak menafsirkannya. walaupun demikian mereka tidak berselisih pada wajibnya mengisbatkan (mengiakan) sifat Allah sebaliknya mereka hanya berselisih pada keadaan ayat itu samada ianya adalah ayat sifat atau bukan sahaja. Sekiranya Ibnu Abbas mengira bahawa itu adalah daripada ayat-ayat sifat yang jelas zahirnya maka sudah pasti beliau tidak menafsirkan ayat itu seperti sahabat-sahabat yang lain.
Tidak syak lagi bahawa zahir ayat tersebut tidak menunjukkan bahawa ianya adalah daripada ayat-ayat sifat seperti yang Ibnu Abbas fahami, kerana perkataan (ِسَاق) dalam ayat tersebut datang dalam bentuk Nakirah (kata nama Am/Umum), tidak disandarkan kepada Allah SWT dan Allah tidak berfirman seperti (سَاقِهِ) [betis-Nya], Ketika mana ianya tidak datang dengan kata nama khas dengan sesuatu penyandaran kepada Allah SWT maka ianya tidak menunjukkan perkataan betis adalah sifat bagi Allah dalam ayat itu, dengan alasan demikian itulah Ibnu Abbas tidak mengira ayat 42 surah Al-qalam itu sebahagian daripada ayat-ayat sifat.
Adapun kelompok sahabat yang menganggap bahawa ayat itu sebahagian daripada ayat-ayat sifat, mereka menganggap demikian kerana berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka dan bukan kerana berdasarkan zahir ayat itu sendiri.
Contoh yang dibawakan ini bukanlah takwil kerana takwil itu mengubah ayat daripada madlulnya (maksudnya), mafhumnya dan maknanya yang sudah maklum diketahui. Dengan yang demikian maka tidak boleh kita katakan bahawa Ibnu Abbas telah mentakwil ayat tersebut.
Kedua : Sesungguhnya sifat betis bagi Allah itu sabit di dalam sunnah :
Daripada Abi Said RA berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Tuhan kita akan menyingkap betis-Nya, lalu akan sujudlah kesemua orang-orang beriman lelaki dan wanita, Lantas tertinggallah mereka yang biasa sujud di dunia karena riak dan sum’ah (mencari populariti). Dia ingin sujud, tetapi belakangnya menjadi satu ruas saja (tidak dapat dibongkokkan)." [Lafaz dan riwayat Al-Bukhari (J4 : hadis 1871), Muslim (183)" .