Pandangan yang paling tepat adalah bahawa Syurga dan neraka tidak akan fana dan tidak akan musnah, ini adalah pegangan Ahli Sunnah Waljama'ah, dengan itu tidak betul menisbahkan kata-kata itu kepada Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah RAH, maka yang rajih di sisinya adalah Syurga dan neraka itu kekal abadi dan tidak fana. Ini benar-benar telah dinaskan yang demikian itu pada banyak tempat di dalam kitab-kitabnya, maka telah berkata sheikh di dalam kitabnya Dar'u ta'arudh al-aqal wannaqal : "Dan semua orang Islam telah berkata: Syurga dan Neraka itu tidak ada yang selain dari keduanya, dan kedua-duanya akan terus wujud, demikian pula ahli Syurga akan terus bergembira di dalam Syurga, dan ahli Neraka akan disiksa di dalam Neraka dan tidak ada selain daripada itu.
Telah berkata Sheikh lagi di dalam kitabnya : Bayan Talbisul Jahmiyah : Sesungguhnya telah bersepakat para Salafu ummah, para imamnya dan sekelian Ahli Sunnah Waljama'ah bahawa diantara makhluk-makhluk yang tidak akan musnah dan fana sepenuhnya seperti syurga, neraka, arasy dan selain yang demikian itu, dan tidak dikatakan bahawa fananya sekelian makhluk melainkan sebahagian kelompok daripada ahlul kalam pelaku bid'ah seperti Jaham Bin Safwan dan orang yang bersetuju dengannya dari kalangan Muktazilah dan kelompok yang seperti mereka, Ini adalah kata-kata yang bathil yang menyelisihi kitab Allah, Sunnah Rasulnya, Ijma' salafu ummah dan para imamnya. Begitu juga jika kita rujuk di dalam kitab-kitabnya yang lain seperti Majmu' Al-fatawa dan selainnya.
Sebab berlakunya ralat dan kesalahfahaman terhadap Sheikhul Islam berkenaan penisbahan kata-kata bahawa neraka itu akan fana adalah kerana Ibnul Qayyim di dalam kitabnya Hadil Arwah yang mana beliau menyebutkan beberapa pandangan berkaitan kemusnahan neraka dan ketiadaannya, beliau telah mengisyaratkan bahawa Ibnu Taimiyah telah menghikayatkan sebahagian pandangan-pandangan ini yang sebahagiannya berkaitan tentang kemusnahan neraka, akan tetapi tidak ada petunjuk yang boleh menunjukkan penisbahan kata-kata ini kepada Sheikhul Islam Ibnu Taimiyah, maka sesungguhnya telah beliau hikayatkan pandangan-pandangan ini dari selain kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti pensyarah Attahawiyah, dan penghikayatan sheikh tentang pandangan dari kelompok-kelompok yang diupah akan penulisnya, bertujuan untuk membantahnya bukan untuk membenarkannya, perkara ini jelas dan tidak memerlukan kepada penerangan yang lebih lanjut.
Adapun bagi Imam Ibnu Qaiyyim baginya ada dua pandangan : Pertama beliau cenderung kepada pandangan mengenai kemusnahan neraka yang dikuatkan dan diteguhkan dengan dalil-dalil di dalam kitabnya "Hadil Arwah" dan "syifa'ul Alil" sepertimana beliau tawaquf pada masalah ini di dalam kitabnya "Assowa i'kul Mursalah" . Pandangan kedua dari Ibnu Qayyim pula adalah bersetuju dengan Ahli Sunnah Waljama'ah bahawa neraka itu kekal dan tidak fana yang mana beliau sebutkan di dalam kitabnya "Al-Wabilu Soyyib" dan "Toriqul Hijrotain".
Maka beliau telah berkata di dalam Al-Wabilu Soyyib: "Dan adapun neraka itu adalah tempat kejahatan dalam kata-kata, perbuatan-perbuatan, makanan-makanan, minuman-minuman dan tempat orang-orang jahat, Maka Allah menghimpunkan orang-orang jahat sebahagian mereka diatas sebahagian yang lain dengan menimbunkannya seperti dia timbunkan sesuatu di atas sesuatu yang tersusun sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, kemudian dia menjadikannya di dalam neraka jahannam bersama penghuninya yang tiada di dalamnya melainkan kejahatan, Adapun manusia terbahagi kepada tiga pengkelasan : Orang baik yang tidak ada kejahatan, orang jahat yang tiada kebaikan padanya, dan bakinya adalah mereka yang padanya ada kebaikan dan juga kejahatan. Maka tempat bagi mereka semua ada tiga jenis : Tempat yang baik sepenuhnya, tempat yang jahat sepenuhnya, yang mana kedua-dua tempat ini tidak akan fana dan adapun tempat bagi mereka yang bercampur kebaikan dan kejahatan maka itulah tempat yang akan fana yang ianya tempat orang-orang maksiat (derhaka), kerana tidak akan kekal di dalam neraka jahannam itu ahli maksiat yang mengesakan Allah, apabila mereka habis diazab mengikut kadar balasan dosa, mereka akan keluar dari neraka dan memasuki syurga, maka tidaklah kekal melainkan tempat yang baik sepenuhnya dan tempat yang jahat sepenuhnya.
Dengan yang demikian, maka memutlakkan pandangan bahawa Ibnu Qayyim berpandangan dengan kemusnahan neraka adalah satu kesilapan keatasnya seperti yang telah dijelaskan bahawa bagi Ibnu Qayyim ada dua pandangan tetapi perbahasan yang sebenarnya adalah mengenai yang mana satukah pandangan beliau yang terakhir yang menasakhkan pandangannya yang awal?
Sesungguhnya kebanyakan pengkaji mengatakan apa yang dikatakan oleh Ibnu Qayyim di dalam "Al-Wabilu Soyyib" dan "Toriqul Hijrotain" telah menasakhkan kata-katanya di dalam kitab "Hadil Arwah" "syifa'ul Alil" dan "Assowa i'kul Mursalah" dan dikuatkan hasil kajian ini dengan beberapa hujahan yang boleh dirujuk di kitab " Kasyfu Astar Li ibtoli Id'ak fana'unnar" oleh Ali Al-Harabi, cetakan darul Toyyibah.
Pandangan mengenai kemusnahan neraka ini ada asar dari sebahagian salaf diantara mereka adalah Saidina Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Hurairah dan Abu Sa'id Al-Qudri. Asar-asar ini samada ianya tidak sahih penisbahannya kepada mereka atau ianya kemungkinan membawa maksud yang lain dari kemusnahan neraka. Boleh rujuk perbincangan asar-asar ini dan kesalahan pendalilan dengannya di dalam "Syarah Al-Aqidah Attohawiyah" oleh Ibnu Abil Izz jilid:2 m/s:651-652 di nota kaki, cetakan Muassasah Arrisalah dengan tahkik oleh Sheikh Al-Arnauth. Wallahu Taala A'lam Bissowab.